Thursday, February 17, 2011

Janganlah Marah, Gurau Pun Tak Boleh?


Begitulah kata-kata yang sering kita dengar apabila seseorang itu mengeluh selepas menjadi mangsa gurauan berlebihan dari kawan sendiri. Sebenarnya, tidak salah untuk kita bergurau atau berjenaka dengan kawan-kawan kita, tapi perlulah berpada-pada.

Bergurau boleh dikatakan perbuatan kelakar melalui perbuatan, kata-kata dan sebagainya. Ia boleh mengembirakan atau dapat menggelikan hati orang lain. Sinonimnya adalah jenaka, lawak dan gurau senda. Menurut pandangan Islam, perbuatan yang boleh membuatkan orang lain senang hati adalah termasuk dalam amal kebajikan dan Rasulullah s.a.w juga selalu berjenaka dengan ahli keluarga dan para sahabat baginda.

Hadis Rasulullah yang bermaksud:

"Celakalah orang yang berbicara lalu mengarang cerita dusta agar orang lain tertawa. Celakalah!"

Riwayat Abu Daud.

Dalam Islam telah digariskan adab-adab untuk kita bergurau agar tidak menyakiti hati dan perasaan orang lain.

1. Tidak menjadikan aspek agama sebagai bahan jenaka seperti mempersendakan sunnah Rasulullah s.a..w .
2. Gurauan tersebut bukan merupakan cacian atau cemuhan seperti memperlekehkan orang lain dengan menyebut kekurangannya.
3. Gurauan itu bukan ghibah (mengumpat) seperti memburukkan seseorang individu dengan niat hendak merendah-rendahkannya.
4. Tidak menjadikan jenaka dan gurauan itu sebagai kebiasaan.
5. Isi jenaka adalah benar dan tidak dibuat-buat.
6. Bersesuaian dengan masa, tempat dan orangnya kerana adalah tidak manis bergurau di waktu seseorang berada dalam kesedihan dan sebagainya.
7. Menjauhi jenaka yang membuatkan orang lain ketawa secara berlebihan (ketawa terbahak-bahak) kerana banyak ketawa akan memadamkan cahaya hati.


Sesungguhnya Rasulullah s.a.w apabila ketawa baginda hanya menampakkan barisan gigi hadapannya sahaja, bukan ketawa yang berdekah-dekah, mengilai-ngilai atau terkekeh-kekeh dengan maksud bahawa selaku seorang muslim kita hendaklah sentiasa menjaga batas kesopanan dalam ertikata yang sepatutnya.


Sumber: Jabatan kemajuan Islam Malaysia, http://ii.islam.gov.my

No comments: